Friday 18 April 2008

Memori Bersama Kumpulan 11-Bahagian 19

KENYATAAN AKHBAR
YB.DATO' MUSA HITAM
Saya masih lagi menyimpan salinan Kenyataan Akhbar YB.Dato' Musa Hitam yang menjadi koleksi peribadi saya sehingga ke hari ini Saya menganggapkan bahawa kenyataan ini adalah bahan sejarah yang perlu saya simpan dan publiskan untuk tatapan orang ramai amnya generasi muda sekarang:-
Apabila Mahkamah Tinggi mengisytiharkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang baru-baru ini, saya telah merayu kepada semua pihak untuk memberi peluang kepada pucuk pimpinan memulihkan semula. Saya membuat rayuan tersebut berasaskan kepada beberapa faktor,di antaranya ialah:
  1. Bahawa keadaan kekusutan yang menimpa UMNO itu hanya boleh diselesaikan menerusi satu usaha yang padu sahaja.
  2. Bahawa sekiranya terdapat banyak kumpulan yang menjalankan usaha-usaha yang berlainan dan bercanggah,keadaan kekusutan itu tidak akan dapat di atasi.
  3. Dan,tanggungjawab dan tumpuan harapan seharusnyalah kepada pucuk pimpinan yang ada, iaitu Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad dan Encik Ghafar Baba serta Majlis Tertinggi yang terpilih pada 24 hb. April 1987 kerana merekalah yang seharusnya diiktiraf sedemikian berasaskan kepada prinsip amalan politik dan demokrasi.

Saya juga telah beberapa kali menyatakan bahawa UMNO hanya diisytiharkan tidak sah dari segi undang-undang sahaja. Oleh sebab itulah UMNO yang dipulihkan itu diberi nama "UMNO Baru ". Dari segi bentuk, rupa, semangat dan realiti politiknya, pada pendapat , anggapan serta harapan saya, "UMNO Baru " itu ialah UMNO yang asal, UMNO yang wujud sejak tahun 1964.

Malangnya, apa yang saya nampak sedang berlaku sekarang ini amatlah membimbangkan. Saya beranggapan demikian berasaskan kepada kenyataan-kenyataan yang dihebahkan oleh penaja-penaja menerusi media masa sejak kebelakangan ini .

Diantara kenyataan-kenyataan yang mengkhuatirkan ialah:

  1. Apabila begitu ramai jagoh-jagoh dan pejuang-pejuang parti digugurkan sewaktu Jawatankuasa Penaja peringkat Nasional dan Pengerusi-pengerusi dan Ahli-ahli Jawankuasa Penaja peringkat bahagian dilantik;
  2. Apabila orang-orang tertentu diputuskan tidak boleh menjadi ahli.
  3. Apabila jawatan-jawatan tertentu tidak boleh ditandangi di peringkat bahagian dan nasional.
  4. Apabila tiap-tiap ahli dan penubuhan tiap-tiap cawangan akan hanya ditentu dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi.

Mengikut pemerhatian saya nampaknya, asas penerimaan seseorang ahli UMNO asal ke dalam "UMNO Baru ", khususnya untuk memegang jawatan-jawatan, ialah sama ada seseorang itu "orang kita " atau tidak. Ukuran "orang kita" inipun begitu simple nampaknya, iaitu pernahkah individu itu membuka mulut untuk menegur, mengkritik, menandingi atau menyokong seseorang bagi menandingi "orang kita "? Kecuali beberapa individu tertentu sahaja, semua yang digugur nampaknya adalah kategori bukan "orang kita ".

Sayugia diingat bahawa UMNO dalam bahasa Melayunya ialah "Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ". UMNO ialah pertubuhan yang mengamalkan prinsip politik demokrasi. Ideologinya ialah Kebangsaan . Dan tujuanya ialah menyatupadukan orang-orang Melayu .

Alam semulajadi orang-orang Melayu sebenarnya membuktikan bahawa kita benar-benar bertradisikan demokrasi, di mana musyawarah menjadi amalan, kebisaan dan cara hidup sehari-hari. Musyawarah maknanya bertukar-tukar fikiran, memberi nasihat, memberi teguran dan sebagainya. Musyawarah juga bermakna penerimaan pandangan , nasihat dan tegur-menegur dengan semangat muhibbah. Ia tidak bermakna penyingkiran mereka yang menegur atau mengkritik. Musyawarah berasaskan ekpada prinsip toleransi .

Keahlian "UMNO Baru " nampaknya oleh mereka yang berkuasa sebagai satu anugerah dan kurniaan instimewa daripada mereka dan seseorang yang menerimanya seolah-olah dituntut supaya berterimakasih. Ini pasti bukan semangat UMNO.

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas bukan sahaja telah menimbulkan kebimbangan , malahan kebingungan, kegelisahan, kekecewaan dan ada kalanya , permusuhan , di kalangan ahli-ahli UMNO asal . Sementara sebahagian dari ahli-ahli UMNO asal, orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya, menggantungkan harapan kepada pucuk pimpinan yang ada sekarang untuk mencari penyelesaian yang sewajar-wajarnya, terdapat pula pihak yang mengemukakan beberapa alternatif lain , seperti usaha untuk memulihkan UMNO asal melalui proses mahkamah , dan juga melalui "percaturan politik " yang melibatkan beberapa negarawan ulung dan juga pihak istana.

Semua langkah-langkah ini, walaupun demokratik dan berasaskan kepada alasan-alasan yang tertentu, ianya menjadi lebih haru-biru apabila kempen mencari pengaruh juga di jalankan menerusi pengedaran beebrapa surat rayuan dan kaset video dan juga penganjuran beberapa ceramah dan perjumpaan .

Demi maruah dan perpaduan Melayu dan demi keunggulan politik Melayu serta demi kestabilan dan kesejahteraan negara:

  1. Saya merayu dan menyeru kepada bekas ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO asal yang menjalankan usaha-usaha alternatif supaya mengkaji semula tindakan mereka dan seterusnya mencari jalan mengelakan berlakunya ketegangan suasana politik dan perpecahan di kalangan orang-orang Melayu.
  2. Kepada mereka yang berkuasa dan bertanggungjawab menubuhkan "UMNO Baru " supaya mengambilkira kenyataan-kenyataan saya seperti di atas dan mengelakkan "UMNO Baru "dari menjadi satu pertubuhan yang menggunakan nama UMNO tetapi sebenarnya satu parti yang benar-benar baru mengikut kehendak sekumpulan terhad orang-orang Melayu sahaja. Apa jua pertukaran bentuk dan corak, khususnya dari segi peraturan-peraturan dan perlembagaan, tidaklah sewajarnya diputuskan begitu awal dan dengan tergesa-gesa.
  3. Kepada pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab menubuhkan "UMNO Baru " saya juga merayu dan menyeru supaya mengambil sikap yang positif dan membina di dalam memutuskan perlantikan jawatan-jawatan dan peneriman keahlian "UMNO Baru ". Hanya dengan menerima kesemua ahli UMNO asal ke dalam "UMNO Baru " sahaja akan mewujudkan perpaduan orang Melayu.
  4. Kepada pihak yang berkuasa dan kepada pihak yang sedang menjalankan usaha-usaha alternatif, saya merayu janganlah hendaknya mengheret negarawan-negarawan ulung yang seharusnya terus di julang dan dimuliakan. Saya juga merayu supaya janganlah hendaknya digunakan istana kerana ini pasti akan mencemarkan penghormatan dan kedudukannya sebagai simbol perpaduan negara.
  5. Kepada bekas-bekas ahli UMNO asal yang kini mungkin sedang berada dalam keadaan kebingungan, kekeliruan dan hampir putus harapan, saya menyeru dan merayu supaya mereka sentiasa bersikap positif dan optimis dan tidak hampa atau putus harapan terhadap usaha-usaha dan langkah-langkah untuk mewujudkan semula UMNO.
  6. Kepada orang-orang Melayu yang tidak terlibat dengan UMNO asal dan "UMNO Baru" serta rakyat Malaysia keseluruhanya, saya menyeru dan merayu supaya berpandangan positif dan optimis dan mengelakkan diri mereka dari penglibatan langsung atau tidak langsung dalam apa jua tindak tanduk yang boleh menancam kestabilan dan ketenteraman politik negara.

Saya sedar dan insaf bahawa kenyataan saya ini pasti akan diberi tafsiran pro dan kontra. Kedudukan peribadi saya tidak penting. Survival UMNO dan dengan secara langsung survival , perpaduan dan maruah orang-orang Melayu dan keunggulan politik Melayu amat penting dalam saat-saat yang serba mencabar ini .

ALLAH SELAMATKAN UMNO

Datuk Musa Hitam

Kuala Lumpur

7hb.April 1988.

No comments: